Saksi.

Saya bersaksi betapa luasnya usaha dakwah Al Marhum Ust Dato’ Hasan Din Al-Hafiz.

Jika dikirakan siapalah saya yang nak dikaitkan dengan insan hebat ini. Saya yakin bila disebut nama saya didepannya, dia tidak mengingatinya atau mengenali saya. Sebab saya ini bukan sesiapa kepadanya.

Ketika saya diusia 16 tahun, saya sedang belajar dalam aliran thanawi di SMAASZA, Batu Buruk, Kuala Terengganu; saya pernah mendekatinya ketika dia dalam melangkah kaki menaiki kenderaan yang diiringi rapi oleh pengiringnya. Waktu itu beliau melawat sekolah dan sempat memberi ceramah kepada warga sekolah. Rasanya beliau ketika itu berkhidmat diistana negara jika tidak salah ingatan saya.

Saya memberanikan diri mendekatinya dan dia dah berada dipintu kereta untuk masuk ke dalamnya. Saya bukanlah orang berani sangat sebab saya ada darah gemuruh. Tapi saya beranikan diri untuk mendekatinya dan ingin meminta nasihat daripadanya. Syukur pengawal dan pengiring menerima saya dengan baik dan Dato’ pun tidak sombong serta lokek. Dia terima salam dan jabat tangan saya. Saya cium tangannya dan meminta nasihat daripadanya.

Seingat saya, saya dalam nada sedikit gementar meminta sesuatu yang sangat penting dalam hidup saya. Sebagai penuntut agama saya fikir permohonan saya amat bermakna jika beliau sedia memberi nasihat kepada saya. Saya mahu jadi penuntut yang ada keberkatan guru dan berjaya dunia akhirat. Walau sesaat perjumpaan ia adalah amat penting bagi saya. Tradisi orang yang cintakan ilmu dia mahukan nasihat orang berilmu.

“Dato’, bolehkah beri satu nasihat atau ilmu yang saya boleh amalkannya dalam pencarian saya kepada ilmu agama?”.

Dalam situasi Dato’ nak beredar dengan segera dia memandang saya dengan kasih-sayang, dia kata; “dengar dengan baik, saya cakap sekali sahaja, saya tidak ulang!!!”.

“In sha Allah , saya dengar dengan baik Dato’ “.

Beliau dengan ringkas menerangkan sesuatu yang sangat berharga buat saya, ia berupa satu petua. Petua untuk kuat ingatan dalam hafalan dan bacaan.

“Dia bertanya, anak ada hafal surah Al-A’la. Ayat 1-8?”

Dia tidak hanya bertanya malah membacakan surah itu kepada saya satu ayat ke satu ayat dalam keadaan tangan kanannya menekup atas bahagia dada kirinya. “Ada rasa denyut nadi”,katanya. Beliau membaca Bismillaahir rahmaanir rahiim. Sabbihis marabikal a’la. (Dia berhenti pada setiap waqaf) sehingga ayat “Sanuqri-uka falaa tansaa”. Dia memutarkan telapak tangannya mengikut lawan jam dan membacanya tiga kali. Lalu ditiupnya ke dadanya tersebut dengan berkata (niat dalam hati… “apa aku baca aku tidak lupa”) dan sambung ayat “illaa maa-shaa Allahu. Innahu ya’lamu jahru wamaa yakhfaa”.

Sambung Dato’ lagi amalkan ini setiap pagi selepas solat sunat subuh sebelum solat fardhu subuh. In sha Allah awak akan kuat ingatan kepada ilmu yang awak belajar.

Saya meminta dia ijazahkan ilmu itu kepada saya dan dia berkata, “saya ijazahkan kepada awak semoga jadi ilmu yang bermanfaat”.

Saya mengucup tangannya dan mengucapkan terima kasih dan Al-hamdulillah.

Ya. Hari ini Dato’ telah meninggalkan alam yang fana ini dengan pusaka ilmu yang tidak putus-putus. Sedekah yang mengalir dan ganjaran kebajikan yang berpanjangan. Terima kasih Ust Dato’ Hasan Din al-Hafiz.

Biarpun saya bukan sesiapa tetapi Allah pernah menemukan kita. Saya juga murid kepada Dato’ dengan ilmu yang diberikan. Alhamdulilah.

Saya berkongsi ilmu ini kepada insan-insan mukmin yang lain agar ilmu yang Dato’ kongsikan ini memberi manfaat kepada Dato’ sebagai sedekah berpanjangan dan tersebar pula kepada insan-insan yang lain.

Al-Fatihah buat Ust Dato’ Hasan Din Al-Hafiz. Semoga bersemadi bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Saya menyaksikan betapa luasnya usahamu menyampaikan ilmu sehingga akhir hayat. Berehatlah daripada kepenatan dunia menyampaikan ilmu dan kebenaran.

Saya bersaksi, insan kerdil seperti saya pun pernah Dato’ santuni. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Innalillaahi wainna ilaihi raaji-‘uun. Allaahummaghfir lahu warhamhu wa-‘aafihi wa’fu-‘anhu. Aamiin ya Rabbal ‘aalamiin.
Moga bermanafaat

4

Imam Malik pernah berkata:

Manusia jadi tenang dan hebat bila ada 4 benda ini.

  1. Kenderaan yang pantas.
  2. Rumah yang lapang.
  3. Pakaian yang cantik.
  4. Lampu yang terang.

Kemudian ada yang bertanya kepada Imam Malik;
“Apakah yang dimaksudkan kenderaan yang pantas?”

Maka, Imam Malik menjawab:
“Kenderaan yang pantas bermaksud akal yang bijak.”

Lalu ada yang bertanya lagi;
“Apakah yang dimaksudkan rumah yang lapang?”

Imam Malik menjawab;
“Rumah yang lapang maknanya kesabaran yang tinggi.”

Kata Imam Malik lagi;
“Pakaian yang cantik bermaksud akhlak yang baik.”

Dan terakhir;
“Lampu yang terang maknanya ilmu yang menerangi (bermanfaat)”.

🌹izara anie hj haron 🌹